Saturday, February 26, 2011

Aktiviti Masjid Zahir

AKTIVITI – AKTIVITI YANG DIJALANKAN OLEH MASJID ZAHIR ALOR SETAR

ISI KANDUNGAN
1. Aktiviti Kerohanian
2. Aktiviti Kemasyarakatan
3. Aktiviti Yang Dirancang
4. Pembangunan Fizikal
5. Masalah
6. Kesimpulan
7. Rujukan




AKTIVITI KEROHANIAN 

    Masjid Zahir sering mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang tahun bagi jemaah – jemaahnya. Masjid Zahir sejak dulu lagi tidak pernah sepi dengan aktiviti kerohanian yang membawa jemaah ke arah memakmurkan masjid. Aktiviti yang dijalankan oleh Masjid Zahir telah berjaya merapatkan jurang antara masyarakat dan juga kakitangan Masjid Zahir.
   Majlis – majlis rasmi kerajaan negeri Kedah juga sering diadakan di Masjid Zahir memandangkan masjid ini merupakan masjid negeri Kedah. Antara majlis yang sering berlangsung di Masjid Zahir ialah majlis bacaan Yasin sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Bagi Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah majlis ini diadakan pada 16 Januari setiap tahun.
   Selain itu, majlis Haul Kebawah Dulu Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah juga diadakan di Masjid Zahir. Sempena Hari Kebangsaan iaitu pada 31 Ogos setiap tahun, Masjid Zahir akan mengadakan majlis bacaan Yasin. Masjid Zahir juga mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah serta Israk dan Mikraj yang sering dihadiri oleh Sultan dan juga Menteri Besar.
   Disamping itu, majlis bacaan Yasin Nifsu Syabaan, ceramah perdana sempena malam Nuzul Al Quran, majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan dan juga majlis Sah Khatam Al Quran sering dianjurkan oleh Masjid Zahir. Aktiviti sebegini telah menarik ramai jemaah khususnya rakyat negeri Kedah bagi memakmurkan masjid disamping mengeratkan silatul rahim sesama umat Islam.
   Penglibatan kerajaan negeri serta NGO telah membantu Masjid Zahir dari segi kos pengendalian aktiviti rasmi lantas meringankan beban masjid. Hasil sumbangan individu tertentu juga telah membantu Masjid Zahir untuk mengendalikan majlis – majlis rasmi dengan efektif serta berkesan.
   Untuk orang ramai juga ada diadakan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kefahaman terhadap Islam. Aktiviti ini dijalankan oleh pihak pentadbiran Masjid Zahir sendiri bagi membantu serta mendidik jemaah dan keluarga mereka. Aktiviti yang sering dihadiri oleh jemaah ialah kuliah Subuh. Kuliah Subuh akan diadakan pada setiap pagi Jumaat bersesuaian kerana hari Jumaat merupakan hari cuti di Kedah disamping hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Kuliah Subuh selalu disampaikan oleh Yang Berbahagia Tuan Syeikh Abdul Hamid Tahir dan Yang Berbahagia Ustaz Haji Said Bin Abdullah.
   Masjid Zahir juga sering menjemput khatib jemputan untuk membaca khutbah solat Jumaat sebulan sekali. Selain itu, Masjid Zahir telah dijadikan tuan rumah kepada kelas Tahsin Al Quran untuk guru KAFA. Kelas umumi  juga diadakan pada setiap malam selepas solat maghrib. Kelas ini mengajar para jemaah tentang ilmu Fiqh, Tasauf, Usuluddin , Hadis dan Tafsir Al Quran.
   Bersesuai sebagai Masjid Negeri, Masjid Zahir juga member khidmat kaunseling kepada sekolah – sekolah, jabatan kerajaan, swasta dan lain – lain. Khidmat kaunseling rumah tangga juga disediakan bagi sesiapa yang memerlukan. Pada setiap malam Jumaat setiap minggu majlis bacaan Yasin akan diadakan. Pada setiap malam Sabtu pula, kelas berzanji dan marhaban akan diadakan untuk para jemaah.
   Seterusnya, kuliah Tafakuh Hadis bulanan akan diadakan dan disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Syeikh Baderuddin. Pegawai – pegawai masjid juga mentajhizkan mayat disamping menunaikan jemputan untuk membaca doa , tahlil dan talkin kepada pihak – pihak yang memerlukan sama ada orang kenamaan mahupun orang biasa.
   Pada bulan Ramadhan pihak Masjid Zahir menjalankan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa dalam bulan yang mulia ini. Kuliah tafsir Al Quran diadakan selepas solat Asar. Pada tiap – tiap malam pada bulan Ramadhan, solat tarawikh satu juzuk dan tadarus Al Quran dilakukan. Aktiviti sebegini dijalankan untuk jemaah menggunakan sepenuh kesempatan kehadiran bulan Ramadhan yang mulia.
   Pada Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Qurban, ibadah Qurban merupakan aktiviti wajib bagi Masjid Zahir yang dibuat setiap tahun. Akhir sekali, kuliah pembangunan Al Quran bulanan yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Hassan Bin Azahari, Dato’ Syeikh Ismail Bin Mohamad dan Ustaz Nik Jaafar Bin Nik Ismail diadakan bagi meningkatkan pemahaman terhadap Al Quran.

AKTIVITI KEMASYARAKATAN

   Selain daripada aktiviti kerohanian atau spiritual, Masjid Zahir juga mengadakan aktiviti sukarela dalam usaha menambah lagi peluang memberi khidmat kepada masyarakat. Antara aktiviti yang sering dijalankan oleh Masjid Zahir ialah membuat gotong royong sebulan sekali yang melibatkan semua pegawai masjid. Mesyuarat bulanan pegawai dan kakitangan Masjid Zahir juga turut diadakan bagi membincangkan tentang masalah pentadbiran serta program atau aktiviti yang ingin dijalankan pada masa hadapan.
   Para pegawai masjid juga akan memberi taklimat kepada pelancong sama ada dari dalam atau luar negara yang berkunjung atau melawat Masjid Zahir. Ini bertujuan untuk menerangkan tentang peranan yang dimainkan oleh masjid dan sejarah Masjid Zahir itu sendiri. Seterusnya, pegawai dan kakitangan masjid akan melakukan lawatan sambil belajar ke masjid – masjid negeri lain  tiap – tiap tahun bagi mempelajari bagaimana untuk menguruskan masjid dengan lebih efektif.
   Bagi membanteras maksiat yang berleluasa di sekitar Alor Setar, pegawai dari Masjid Zahir dihantar untuk membantu penguatkuasa JAIK melakukan serbuan ke sarang maksiat. Akhir sekali, Masjid Zahir akan menghantar peserta untuk pesta sukan sungai sempena hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.

AKTIVITI YANG DIRANCANG

   Pihak masjid telah merancang untuk menerbitkan risalah mengenai Masjid Zahir. Ini bertujuan untuk menerangkan tentang sejarah pembinaan masjid, peranan yang dimainkan sebagai masjid negeri Kedah dan lain – lain. Bersesuai dengan zaman teknologi maklumat yang serba canggih, pihak Masjid Zahir telah bercadang untuk membuat “Web Page” atau laman web tersendiri bagi Masjid Zahir. Dengan penghasilan lawan web khas ini, sesiapa sahaja khususnya pengkaji serta penuntut IPTA atau IPTS boleh mendapatkan maklumat yang terperinci tentang masjid serta ia boleh dijadikan tempat rujukan apabila melakukan satu tugasan.

PEMBANGUNAN FIZIKAL YANG TERLAKSANA

   Bagi melaksanakan aktiviti yang telah dirancang, pihak Masjid Zahir telah melakukan beberapa pembangunan atau pengubahsuaian fizikal keatas Masjid Zahir. Antaranya ialah dengan mengadakan khidmat kawalan keselamatan bagi menjaga keselamatan jemaah di samping melindungi kemudahan yang di sediakan oleh Masjid Zahir. Untuk menampung peningkatan jumlah kenderaan jemaah yang semakin bertambah dari semasa ke semasa, pihak Masjid Zahir telah mendapatkan semula tanah yang didiami oleh setinggan berketurunan cina dan dijadikan tempat letak kereta tambahan. Lampu awam juga telah dipasang di kawasan letak kereta berkenaan.
   Pihak Masjid Zahir juga telah mendapatkan sebuah van bagi berurusan dengan anak kariah. Ini juga memudahkan pegawai masjid untuk melakukan lawatan serta melakukan serbuan kerana sebelum ini mereka bergantung kepada JAIK untuk menyediakan kenderaan. Selain itu, masjid juga telah menyediakn sebuah van jenazah untuk kemudahan orang ramai yang kematian ahli keluarga. Untuk memberi keselesaan kepada jemaah, pihak masjid telah memasang papan pembahagi yang baru untuk jemaah wanita. Gentian lantai untuk bilik wudhuk lelaki dan wanita juga telah ditukar untuk memberi keselesaan kepada jemaah. Pihak masjid juga telah menukar permaidani bagi keseluruhan ruang solat Masjid Zahir bagi menggantikan permaidani yang lama. Pagar keselamatan yang baru juga dipasang untuk mencegah kawasan masjid dicerobohi oleh manusia dan anjing liar.
   Akhir sekali, pihak masjid telah memasang papan kenyataan Masjid Zahir bagi memudahkan jemaah mengetahui tentang aktiviti yang ingin dilaksanakan oleh masjid. Jadual waktu solat secara automatic juga telah dipasang bagi menggantikan jadual manual yang telah lama dan uzur. Alat siarraya telah dinaik taraf oleh pihak masjid disamping memasang ‘Running Light” untuk mempamerkan aktiviti Masjid Zahir dan kata – kata nasihat kepada semua pengunjung masjid.

MASALAH YANG TIMBUL

   Untuk menjalankan aktiviti yang telah disenaraikan, Masjid Zahir telah menghadapi beberapa masalah yang biasa. Antaranya kekurangan pegawai dan juga kakitangan masjid. Ini disebabkan berlakunya kematian dan persaraan pegawai dan kakitangan masjid. Pihak masjid telah berusaha sedaya upaya untuk mengisi kekosongan ini dengan mengeluarkan iklan bagi mendapatkan pegawai dan kakitangan baru. Dengan kekurangan tenaga kerja, aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan tidak dapat berjalan dengan lancar.
   Masalah lain yang selalu menganggu kelancaran aktiviti masjid ialah kekurangan peralatan yang canggih dan terkini. Buat masa sekarang pihak Masjid Zahir hanya dilengkapi dengan 3 unit computer dan 2 darinya adalah dari jenis model lama yang tidak mampu berfungsi dengan baik. Pihak masjid juga tidak memiliki LCD atau projector. Ini menyusahkan pihak masjid kerana harus meminjam kepada JAIK jika hendak melakukan kuliah atau ceramah secara interaktif.

KESIMPULAN

 Kesimpulan yang boleh dibuat ialah semua aktiviti yang dijalankan oleh pihak Masjid Zahir adalah untuk membantu dan mendidik jemaah supaya dapat memberi sumbangan kepada agama, masyarakat dan juga negara. Selain itu, aktiviti yang dijalankan ini dapat mengembalikan peranan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan serta sebagai pusat bimbingan bagi melahirkan insan atau ummah  yang cemerlang dunia dan akhirat.

Surah At - Taubah Ayat 18
Maksud : Hanya yang memakmurkan Masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari yang kemudian serta mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat sedang ia tiada takut, melainkan kepada Allah. Maka mudah – mudahan mereka itu termasuk orang – orang yang mendapat petunjuk.


RUJUKAN

·         Wikipedia.com
·         Syeikh Roslan Bin Haji Abdul Halim – Imam Besar : Laporan Pembangunan Fizikal dan Spiritual Masjid Zahir.


1 comment:

  1. Casino Roll
    Casino Roll is 램 슬롯 a gaming platform that brings together 포커 게임 slot enthusiasts and casino roll slots 탱글다희 영구정지 and casino games 카카오스포츠 with their own bonuses. Rating: 4.5 · ‎Review 야구 분석 by CasinoRoll

    ReplyDelete