Saturday, February 26, 2011

Aktiviti Masjid Zahir

AKTIVITI – AKTIVITI YANG DIJALANKAN OLEH MASJID ZAHIR ALOR SETAR

ISI KANDUNGAN
1. Aktiviti Kerohanian
2. Aktiviti Kemasyarakatan
3. Aktiviti Yang Dirancang
4. Pembangunan Fizikal
5. Masalah
6. Kesimpulan
7. Rujukan




AKTIVITI KEROHANIAN 

    Masjid Zahir sering mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang tahun bagi jemaah – jemaahnya. Masjid Zahir sejak dulu lagi tidak pernah sepi dengan aktiviti kerohanian yang membawa jemaah ke arah memakmurkan masjid. Aktiviti yang dijalankan oleh Masjid Zahir telah berjaya merapatkan jurang antara masyarakat dan juga kakitangan Masjid Zahir.
   Majlis – majlis rasmi kerajaan negeri Kedah juga sering diadakan di Masjid Zahir memandangkan masjid ini merupakan masjid negeri Kedah. Antara majlis yang sering berlangsung di Masjid Zahir ialah majlis bacaan Yasin sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Bagi Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah majlis ini diadakan pada 16 Januari setiap tahun.
   Selain itu, majlis Haul Kebawah Dulu Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah juga diadakan di Masjid Zahir. Sempena Hari Kebangsaan iaitu pada 31 Ogos setiap tahun, Masjid Zahir akan mengadakan majlis bacaan Yasin. Masjid Zahir juga mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah serta Israk dan Mikraj yang sering dihadiri oleh Sultan dan juga Menteri Besar.
   Disamping itu, majlis bacaan Yasin Nifsu Syabaan, ceramah perdana sempena malam Nuzul Al Quran, majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan dan juga majlis Sah Khatam Al Quran sering dianjurkan oleh Masjid Zahir. Aktiviti sebegini telah menarik ramai jemaah khususnya rakyat negeri Kedah bagi memakmurkan masjid disamping mengeratkan silatul rahim sesama umat Islam.
   Penglibatan kerajaan negeri serta NGO telah membantu Masjid Zahir dari segi kos pengendalian aktiviti rasmi lantas meringankan beban masjid. Hasil sumbangan individu tertentu juga telah membantu Masjid Zahir untuk mengendalikan majlis – majlis rasmi dengan efektif serta berkesan.
   Untuk orang ramai juga ada diadakan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kefahaman terhadap Islam. Aktiviti ini dijalankan oleh pihak pentadbiran Masjid Zahir sendiri bagi membantu serta mendidik jemaah dan keluarga mereka. Aktiviti yang sering dihadiri oleh jemaah ialah kuliah Subuh. Kuliah Subuh akan diadakan pada setiap pagi Jumaat bersesuaian kerana hari Jumaat merupakan hari cuti di Kedah disamping hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Kuliah Subuh selalu disampaikan oleh Yang Berbahagia Tuan Syeikh Abdul Hamid Tahir dan Yang Berbahagia Ustaz Haji Said Bin Abdullah.
   Masjid Zahir juga sering menjemput khatib jemputan untuk membaca khutbah solat Jumaat sebulan sekali. Selain itu, Masjid Zahir telah dijadikan tuan rumah kepada kelas Tahsin Al Quran untuk guru KAFA. Kelas umumi  juga diadakan pada setiap malam selepas solat maghrib. Kelas ini mengajar para jemaah tentang ilmu Fiqh, Tasauf, Usuluddin , Hadis dan Tafsir Al Quran.
   Bersesuai sebagai Masjid Negeri, Masjid Zahir juga member khidmat kaunseling kepada sekolah – sekolah, jabatan kerajaan, swasta dan lain – lain. Khidmat kaunseling rumah tangga juga disediakan bagi sesiapa yang memerlukan. Pada setiap malam Jumaat setiap minggu majlis bacaan Yasin akan diadakan. Pada setiap malam Sabtu pula, kelas berzanji dan marhaban akan diadakan untuk para jemaah.
   Seterusnya, kuliah Tafakuh Hadis bulanan akan diadakan dan disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Syeikh Baderuddin. Pegawai – pegawai masjid juga mentajhizkan mayat disamping menunaikan jemputan untuk membaca doa , tahlil dan talkin kepada pihak – pihak yang memerlukan sama ada orang kenamaan mahupun orang biasa.
   Pada bulan Ramadhan pihak Masjid Zahir menjalankan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa dalam bulan yang mulia ini. Kuliah tafsir Al Quran diadakan selepas solat Asar. Pada tiap – tiap malam pada bulan Ramadhan, solat tarawikh satu juzuk dan tadarus Al Quran dilakukan. Aktiviti sebegini dijalankan untuk jemaah menggunakan sepenuh kesempatan kehadiran bulan Ramadhan yang mulia.
   Pada Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Qurban, ibadah Qurban merupakan aktiviti wajib bagi Masjid Zahir yang dibuat setiap tahun. Akhir sekali, kuliah pembangunan Al Quran bulanan yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Hassan Bin Azahari, Dato’ Syeikh Ismail Bin Mohamad dan Ustaz Nik Jaafar Bin Nik Ismail diadakan bagi meningkatkan pemahaman terhadap Al Quran.

AKTIVITI KEMASYARAKATAN

   Selain daripada aktiviti kerohanian atau spiritual, Masjid Zahir juga mengadakan aktiviti sukarela dalam usaha menambah lagi peluang memberi khidmat kepada masyarakat. Antara aktiviti yang sering dijalankan oleh Masjid Zahir ialah membuat gotong royong sebulan sekali yang melibatkan semua pegawai masjid. Mesyuarat bulanan pegawai dan kakitangan Masjid Zahir juga turut diadakan bagi membincangkan tentang masalah pentadbiran serta program atau aktiviti yang ingin dijalankan pada masa hadapan.
   Para pegawai masjid juga akan memberi taklimat kepada pelancong sama ada dari dalam atau luar negara yang berkunjung atau melawat Masjid Zahir. Ini bertujuan untuk menerangkan tentang peranan yang dimainkan oleh masjid dan sejarah Masjid Zahir itu sendiri. Seterusnya, pegawai dan kakitangan masjid akan melakukan lawatan sambil belajar ke masjid – masjid negeri lain  tiap – tiap tahun bagi mempelajari bagaimana untuk menguruskan masjid dengan lebih efektif.
   Bagi membanteras maksiat yang berleluasa di sekitar Alor Setar, pegawai dari Masjid Zahir dihantar untuk membantu penguatkuasa JAIK melakukan serbuan ke sarang maksiat. Akhir sekali, Masjid Zahir akan menghantar peserta untuk pesta sukan sungai sempena hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.

AKTIVITI YANG DIRANCANG

   Pihak masjid telah merancang untuk menerbitkan risalah mengenai Masjid Zahir. Ini bertujuan untuk menerangkan tentang sejarah pembinaan masjid, peranan yang dimainkan sebagai masjid negeri Kedah dan lain – lain. Bersesuai dengan zaman teknologi maklumat yang serba canggih, pihak Masjid Zahir telah bercadang untuk membuat “Web Page” atau laman web tersendiri bagi Masjid Zahir. Dengan penghasilan lawan web khas ini, sesiapa sahaja khususnya pengkaji serta penuntut IPTA atau IPTS boleh mendapatkan maklumat yang terperinci tentang masjid serta ia boleh dijadikan tempat rujukan apabila melakukan satu tugasan.

PEMBANGUNAN FIZIKAL YANG TERLAKSANA

   Bagi melaksanakan aktiviti yang telah dirancang, pihak Masjid Zahir telah melakukan beberapa pembangunan atau pengubahsuaian fizikal keatas Masjid Zahir. Antaranya ialah dengan mengadakan khidmat kawalan keselamatan bagi menjaga keselamatan jemaah di samping melindungi kemudahan yang di sediakan oleh Masjid Zahir. Untuk menampung peningkatan jumlah kenderaan jemaah yang semakin bertambah dari semasa ke semasa, pihak Masjid Zahir telah mendapatkan semula tanah yang didiami oleh setinggan berketurunan cina dan dijadikan tempat letak kereta tambahan. Lampu awam juga telah dipasang di kawasan letak kereta berkenaan.
   Pihak Masjid Zahir juga telah mendapatkan sebuah van bagi berurusan dengan anak kariah. Ini juga memudahkan pegawai masjid untuk melakukan lawatan serta melakukan serbuan kerana sebelum ini mereka bergantung kepada JAIK untuk menyediakan kenderaan. Selain itu, masjid juga telah menyediakn sebuah van jenazah untuk kemudahan orang ramai yang kematian ahli keluarga. Untuk memberi keselesaan kepada jemaah, pihak masjid telah memasang papan pembahagi yang baru untuk jemaah wanita. Gentian lantai untuk bilik wudhuk lelaki dan wanita juga telah ditukar untuk memberi keselesaan kepada jemaah. Pihak masjid juga telah menukar permaidani bagi keseluruhan ruang solat Masjid Zahir bagi menggantikan permaidani yang lama. Pagar keselamatan yang baru juga dipasang untuk mencegah kawasan masjid dicerobohi oleh manusia dan anjing liar.
   Akhir sekali, pihak masjid telah memasang papan kenyataan Masjid Zahir bagi memudahkan jemaah mengetahui tentang aktiviti yang ingin dilaksanakan oleh masjid. Jadual waktu solat secara automatic juga telah dipasang bagi menggantikan jadual manual yang telah lama dan uzur. Alat siarraya telah dinaik taraf oleh pihak masjid disamping memasang ‘Running Light” untuk mempamerkan aktiviti Masjid Zahir dan kata – kata nasihat kepada semua pengunjung masjid.

MASALAH YANG TIMBUL

   Untuk menjalankan aktiviti yang telah disenaraikan, Masjid Zahir telah menghadapi beberapa masalah yang biasa. Antaranya kekurangan pegawai dan juga kakitangan masjid. Ini disebabkan berlakunya kematian dan persaraan pegawai dan kakitangan masjid. Pihak masjid telah berusaha sedaya upaya untuk mengisi kekosongan ini dengan mengeluarkan iklan bagi mendapatkan pegawai dan kakitangan baru. Dengan kekurangan tenaga kerja, aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan tidak dapat berjalan dengan lancar.
   Masalah lain yang selalu menganggu kelancaran aktiviti masjid ialah kekurangan peralatan yang canggih dan terkini. Buat masa sekarang pihak Masjid Zahir hanya dilengkapi dengan 3 unit computer dan 2 darinya adalah dari jenis model lama yang tidak mampu berfungsi dengan baik. Pihak masjid juga tidak memiliki LCD atau projector. Ini menyusahkan pihak masjid kerana harus meminjam kepada JAIK jika hendak melakukan kuliah atau ceramah secara interaktif.

KESIMPULAN

 Kesimpulan yang boleh dibuat ialah semua aktiviti yang dijalankan oleh pihak Masjid Zahir adalah untuk membantu dan mendidik jemaah supaya dapat memberi sumbangan kepada agama, masyarakat dan juga negara. Selain itu, aktiviti yang dijalankan ini dapat mengembalikan peranan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan serta sebagai pusat bimbingan bagi melahirkan insan atau ummah  yang cemerlang dunia dan akhirat.

Surah At - Taubah Ayat 18
Maksud : Hanya yang memakmurkan Masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari yang kemudian serta mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat sedang ia tiada takut, melainkan kepada Allah. Maka mudah – mudahan mereka itu termasuk orang – orang yang mendapat petunjuk.


RUJUKAN

·         Wikipedia.com
·         Syeikh Roslan Bin Haji Abdul Halim – Imam Besar : Laporan Pembangunan Fizikal dan Spiritual Masjid Zahir.


Sejarah Pembinaan Masjid Zahir


TAJUK:
Sejarah Pembinaan Dan Aktiviti Yang Dijalankan Di Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah

DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU151


DISEDIAKAN OLEH:
Mohamad Azri Faez Bin Basri
No Matrik : 2010809988
Kumpulan: ASD2Cn


PROGRAM:
AS120 Diploma Sains

TARIKH HANTAR:
3 Mac 2011



ISI KANDUNGAN
1. Isi kandungan 
2. Abstrak 
3. Pendahuluan Dan Pengertian Masjid 
4. Sejarah Pembinaan Masjid
5. Latar Belakang Masjid
6. Carta Organisasi Masjid
7. Penutup
8. Rujukan




ABSTRAK

Masjid berasal dari perkataan Arab yang bermaksud tempat sujud. Masjid telah dibina di serata dunia oleh umat Islam bagi menjalankan aktiviti ibadah,dakwah serta tidak lupa sosial. Sama ada di benua Asia, Afrika, Eropah serta Amerika masjid pasti ada. Kebiasaannya umat Islam hadir ke masjid bagi beribadah kepada Allah. Bersesuai dengan maksud sujud yang bermakna kita sebagai hamba perlu sujud atau patuh kepada Allah yang telah menciptakan kita. Kaum Adam khususnya akan datang ke masjid untuk bersolat Jumaat secara berjemaah. Disamping itu, solat Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha juga dilakukan oleh jemaah di masjid di serata dunia.  Sebagai umat Islam, kita sepatutnya memakmurkan rumah – rumah Allah ini bagi mencari serta memperolehi keredhaanya di dunia dan akhirat.



PENDAHULUAN DAN PENGERTIAN MASJID

   Dari sudut bahasa “masjid” bermaksud tempat bersujud. Masjid adalah sebuah tempat di mana ibadat – ibadat khusus dijalankan secara berjemaah atau beramai – ramai. Disebabkan itu masjid secara tidak langsung telah menjadi tempat yang menyatukan dan merapatkan umat Islam khususnya di rantau ini. Masjid mempunyai pelbagai fungsi jika dilihat dari pelbagai sudut pandangan.
   Antara fungsi yang boleh dikaitkan dengan masjid ialah sebagai pusat penyebaran ilmu dikalangan penduduk setempat, pusat penyelidikan serta tafsiran dan juga sebagai pusat komuniti berkumpul untuk menjalankan sebarang aktiviti dan program.
   Sejak zaman permulaan Islam lagi, kemajuan umat dan gerakan Islam semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat berkumpul, berbincang dan merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah malah perdagangan, ekonomi, perundangan dan penyebaran ilmu.
   Pada zaman dahulu, sewaktu zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, masjid memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Islam kepada pedagang – pedagang asing yang datang dari China, Jepun , India dan juga dari Eropah. Para ulama akan berkumpul dan menerangkan tentang Islam kepada pedagang – pedagang ini.
   Di Malaysia, terdapat banyak masjid yang telah dibina bagi memudahkan umat Islam di negara ini untuk beribadat. Seni bina masjid di negara ini setaraf dengan masjid – masjid yang di luar negara. Setiap negeri di Malaysia sama ada di semenanjung mahu pun di Sabah dan Sarawak mempunyai satu masjid negeri. Sebagai contoh di Kedah Darul Aman, Masjid Zahir telah diiktiraf sebagai masjid negeri Kedah.

 

 SEJARAH  PEMBINAAN MASJID ZAHIR

   Masjid Zahir atau juga dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah. Ia terletak di persimpangan Jalan Kampung Perak dan Jalan Pekan Melayu. Bangunan bersejarah ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar bertentangan dengan Balai Besar.. Ia juga dikenali sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja dan terletak di perkarangan Istana Pelamin.
   Masjid Zahir mula dibina pada 22 Rabiulawal 1330H (11 Mac 1912) atas usaha YTM Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah. Tapak masjid ini pada asalnya adalah tanah pusara wira – wira  Kedah yang telah gugur semasa berjuang  mempertahankan negeri Kedah dari serangan Siam pada tahun 1821. Reka bentuk Masjid Zahir diilhamkan dari Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara. Ia dihiasi dengan lima kubah utama sebagai lambang lima Rukun Islam.
   Upacara perasmian Masjid Zahir dilakukan pada hari Jumaat, 6 Zulhijjah 1333H (15 Oktober 1915) oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat Jumaat. 

Pandangan Sisi
   Masjid Zahir merupakan masjid yang tertua di negeri Kedah dan tercantik dari aspek reka bentuk binaanya di Malaysia.

LATAR BELAKANG MASJID ZAHIR

   Masjid Zahir merupakan sebuah masjid yang diklasifikasikan sebagai sebuah masjid yang mempunyai ciri – ciri senibina yang unik serta menarik. Reka bentuk Masjid Zahir diilhamkan daripada Masjid Azizi di Sumatera. Ini bermaksud terdapat banyak pengaruh dari Timur Tengah dan juga India terhadap seni bina dan reka bentuk Masjid Zahir kerana kedua – dua masjid ini mempunyai banyak kubah. Masjid Zahir mempunyai 5 kubah manakala Masjid Azizi mempunyai 9 kubah.



   Masjid Zahir mempunyai keluasan tapak kira-kira 124,412 kaki persegi. Dewan
tengahnya (Dewan Sembahyang) berukuran 62 x 62 kaki persegi dan dikelilingi oleh
beranda berukuran 8 kaki lebar dengan 4 anjung yang setiap satunya terdapat sebuah kubah. Menara utamanya terletak di bahagian timur laut bangunan masjid itu. Setelah 87 tahun selepas pembinaannya, Masjid Zahir telah diperbesarkan sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1960 dan pada tahun 1975.



Kubah Masjid Zahir

Mimbar Masjid Zahir
   Disebelah Masjid Zahir terdapat sebuah pejabat untuk Imam Besar, Penghulu Masjid dan juga Bilal. Ini memudahkan mereka untuk menjalankan tugas – tugas yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Ini juga memudahkan jemaah untuk berjumpa dengan mereka jika berlaku apa – apa masalah selain mendekatkan diri mereka dengan penduduk setempat.
Pejabat
   Tugas – tugas Imam Besar dan juga Penghulu Masjid merangkumi pentadbiran berkaitan aktivti agama serta sosial. Kedua – dua mereka dibantu oleh kakitangan yang telah dilantik yang terdiri daripada imam rawathib, bilal, siak, dan juga tukang kebun.

CARTA ORGANISASI MASJID ZAHIR, ALOR SETAR, KEDAH
v  IMAM BESAR = SYEIKH ROSLAN BIN HAJI ABDUL HALIM

v  PENGHULU MASJID = MUHAMAD BIN ABDUL AZIZ

v  Mereka dibantu oleh 3 orang Imam Rawathib iaitu :
·         USTAZ SHAHIDAN BAHRUM
·         USTAZ ROSHIDI MAHMUD
·         USTAZ SHAFIE ISMAIL

v  Seterusnya, terdapat 3 orang Bilal di Masjid Zahir iaitu :
·         HAJI AZAM BIN HAJI NAWAWI
·         USTAZ ABDUL GHANI ABDUL RAHMAN
·         USTAZ MOHD JASNI ABDULLAH

v  Disamping itu, 4 orang Siak telah dilantik iaitu :
·         MD ZAIN HAJI AHMAD
·         SHARIFUDIN ISMAIL
·         MOHD RADZI ABDUL HAMID
·         JOHARI DIN

v  Akhir sekali, terdapat 3 orang tukang kebun iaitu :
·         ABDUL RAHMAN MD ZAIN
·         GHAZALI AHMAD
·         RAMLI JUSOH

   Tugas yang dikhaskan buat Imam Besar Masjid Zahir ialah untuk membuat tugas pentadbiran dan mengimamkan semua Majlis – Majlis Rasmi yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Tugas Imam Rawathib pula membantu tugas pentadbiran termasuk nikah, cerai, rujuk dan menjadi imam solat harian. Penghulu Masjid berperanan untuk membantu tugas pentadbiran dan sebagai ketua Siak. Bilal pula menjalankan tugas melaungkan azan setiap hari dan membant tugas imam. Seterusnya, Siak dilantik untuk memastikan kebersihan masjid dan persiapan untuk solat harian disamping membantu tugas Imam Rawathib serta bilal dan pentadbiran. Akhir sekali, tukang kebun ditugaskan bagi memastikan kawasan sekitar Masjid Zahir sentiasa bersih dan ceria.
   Pengambilan para pegawai Masjid Zahir adalah melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah berikutan Masjid Zahir merupakan Masjid Negeri Kedah. Di samping itu, Masjid Zahir telah diletakkan dibawah Bahagian Dakwah JAIK atau Jabatan Agama Islam Kedah yang diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Hal Ehwal Islam selaku Ketua Bahagian Dakwah.
   Dibelakang Masjid Zahir terdapat dua buah bangunan yang dimiliki oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah. Kedua – dua bangunan ini berfungsi sebagai mahkamah bagi kes – kes syariah yang berlaku di negeri Kedah. Terdapat sebuah mahkamah tinggi syariah dan sebuah mahkamah rendah syariah.

Mahkamah Tinggi Syariah
Mahkamah Rendah Syariah

   Masjid Zahir merupakan salah satu destinasi pelancongan yang sering dikunjungi oleh pelancong sama ada dari dalam atau luar negara jika bertandang ke Alor Setar. Ini kerana Masjid Zahir mempunyai sejarah yang mendalam serta seni bina yang unik, menarik serta berbeza jika dibandingkan dengan masjid – masjid lain di Malaysia. Keunikkan Masjid Zahir yang berusia hampir  seabad merupakan kebanggaan bagi setiap rakyat negeri Kedah kerana telah membuktikan kepandaian serta kemahiran yang tinggi dan juga mempunyai seni estetika yang setaraf dengan masjid – masjid lain.

Pandangan Belakang 

PENUTUP
   Kesimpulannya sejarah pembinaan Masjid Zahir telah banyak membantu kita untuk kita lebih mengenali tentang kesungguhan pemerintah negeri Kedah untuk membina masjid ini untuk rakyat serta membantu kita untuk lebih menghargai Masjid Zahir. Disamping itu, keunikkan yang ada pada seni bina Masjid Zahir diharap mampu memberi inspirasi untuk kita bagi membangunkan negara berlandaskan Islam.


RUJUKAN

·         Wikipedia.com
·         Syeikh Roslan Bin Haji Abdul Halim- Imam Besar : Laporan Pembangunan  Fizikal dan Spiritual Masjid Zahir